Labels

Saturday, September 14, 2013

AKU

Mereka tak pernah tahu apa yang terbuku dalam hati ku. Aku kecewa, pasrah, dan berserah. Aku seorang anak, isteri, ibu dan hamba-Nya yang sangat lemah dan rapuh hatinya. Setiap hari aku lalui penuh dengan harapan dan doa agar aku mendapat semangat dan kekuatan dalam menghadapi setiap dugaan dan ujian. Ye aku diuji sebagai seorang anak, isteri dan ibu. Setiap hari, jam, detik dan saat aku berdoa agar mereka yang aku sayangi dilindungi dan diberkati. Aku tak mampu bersama-sama dengan mereka setiap saat, aku tidak boleh menjaga mereka setiap waktu dan aku tidak punya masa untuk mengawasi mereka setiap masa. Hanya aku titipkan doa setiap masa agar Allah bersama, menjaga dan mengawasi mereka setiap saat, waktu dan masa. Aku tidak mengharapkan sesiapa pun kecuali Allah.
Sebagai seorang anak aku tidak mampu untuk sentiasa bersama mereka dikala mereka sakit, sedih dan gembira kerana aku seorang isteri juga yang hanya mampu mengikut perintah suami. Aku tidak mahu menjadi isteri derhaka, isteri yang tidak mendapat redha suami, kerana rehda suami adalah redha Allah. Aku mahu ibu dan bapaku berbangga mempunyai anak yang taat kepada suami di ahkirat sana, supaya mereka tahu mereka telah mendidik aku dengan berjaya. Bagi aku ibu bapaku seorang yang berjaya sebagai ibubapa bukan kerana anak-anaknya berjaya dalam hidup tapi kerana anak-anaknya tidak pernah mengabaikan perintah Allah.
Sebagai seorang ibu, aku tidak mampu untuk bersama dan menjaga anakku setiap waktu, kerana aku perlu bekerja. Keluar rumah bersama-sama suami untuk mencari nafkah. Kalau dulu aku bekerja untuk diriku semata-mata, namun sekarang bila sudah menjadi ibu baru aku sedar sebenarnya aku bekerja untuk anak dan ibubapaku. aku mahu mereka senang.Sebagai seorang ibu aku sentiasa bimbang meninggalkan anakku dibawah jagaan pengasuh apatah lagi sekarang macam-macam berlaku kepada anak-anak yang ditinggalkan di bawah jagaan pengasuh. Aku hanya mampu berdoa kepada Allah agar anak aku dilindungi dan pengasuh anakku seorang yang penyayang kepada kanak-kanak. Hanya itu yang mampu aku buat. Maafkan mama sayang.
Sebagai seorang isteri, aku tidak mampu untuk bersama-sama suamiku setiap masa. Aku tidak punyai cukup masa untuk memantau pergerakkan suamiku. Apa yang dia buat, apa yang dia makan, dengan siapa dia keluar, dengan siapa dia bersembang di telefon dan dengan siapa dia ber'sms'. Aku hanya mampu berdoa agar aku diberi kekuatan dan sentiasa bersangka baik dengan suami ku. Aku mahu menjadi isteri yang baik dan sentiasa menberi kesenangan di hati suami dikala dia sedih, duka, gembira dan penat bekerja. Bukan sekadar menjadi seorang isteri, tapi sebagai seorang teman dan juga sahabat. Namun aku tahu sekuat mana pun harapan dan usahaku untuk menjadi yang terbaik aku tetap juga akan melakukan kesilapan kerana aku seorang insan yang lemah. aku tidak mempunyai tenaga yang kuat setiap masa. Setelah penat bekerja dipejabat kerja di rumah juga menanti. Aku sanggup berkorban demi anak dan suami agar mereka sentiasa sihat walaupun aku penat kerana aku sayang mereka.
Disebalik senyumku, tawaku dan renungan mataku hanya untuk mereka yang aku kasihi. Biar aku disakiti, dan dilukai jangan mereka. Aku sentiasa berdoa agar aku dipanjangkan umur supaya dapat menjaga mereka.

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger